BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, August 9, 2010

PENAKSIRAN PETA MINDA

1.0 PENGENALAN

Peta minda adalah suatu lakaran grafik pemikiran individu dan ia dapat diterjemahkan menjadi sesuatu yang tersirat kepada yang tersurat. Peta minda membolehkan seseorang merangka, mencatat nota, merekod maklumat atau peristiwa dan merupakan alat yang berkesan bagi mendorong pemikiran yang kreatif. Peta minda bukan sahaja menjadi kaedah dalam mengingat ketika mengulangkaji pelajaran malah mampu menjadi salah satu alat pentaksiran ke atas diri pelajar. Pentaksiran melalui peta minda dapat melihat kemampuan kognatif dan afektif seseoarng pelajar dan mampu menjadi salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan meyeronokkan kerana pelajar diberi peluang untuk mengetengahkan pemikiran dan kreativiti yang ada pada diri pelajar.
Dalam membina peta minda hubungan dua hala antara guru dan pelajar akan wujud disebabkan interaksi bagi mendapatkan maklumat atau sebagainya berlaku. Malahan hubungan antara pelajar lain juga turut berkembang jika penghasilan peta minda dilakukan secara berkumpulan. Gabungan idea yang banyak dari semua pelajar akan menjadikan peta minda yang dihasilkan semakin menarik dan sempurna.


2.0 RASIONAL


Hanya segelintir sahaja guru menggunakan peta minda dalam proses pengajaran dan pembelajaran malah pelajar juga kurang diberi pendedahan tentang cara penggunaan dan membina peta minda. Terdapat juga pelajar tidak mengetahui teknik sebenar dan betul dalam melakar peta minda. Penggunaan peta minda dalam pengajaran dan pembelajaran banyak memberi sumbangan yang positif bukan sahaja dalam pembelajaran malah dapat digunapakai dalam menilai pelajar. Rasionalnya penggunaan peta minda dalam pentaksiran terhadap pelajar adalah:

i. Menilai tahap kognatif dan afektif pelajar


Dalam membina peta minda perkara pertama yang dapat ditaksir atau dinilai oleh guru ke atas pelajar adalah melihat tahap kognatif dan afektif seseorang pelajar. Segala maklumat atau bahan dipersembahkan dalam bentuk carta atau lakaran mengikut idea pelajar sendiri. Penilaian merangkumi kreativiti pelajar dalam penghasilan peta minda dan isi yang dikemukakan. Sesuatu hasil yang kelihatan menarik tidak bermakna peta minda yang dihasilkan lengkap dan sempurna. Isi yang dikemukakan juga perlu lengkap dan jelas. Melalui isi yang dikemukakan guru dapat menilai tahap penguasaan pelajar terhadap tajuk dibincangkan.
Melalui penghasilan peta minda secara berkumpulan membolehkan nilai afektif dapat dipupuk dikalangan pelajar dan secara langsung guru dapat menilai tahap efeksif setiap indidvidu dalam kumpulan. Nilai afektif yang dapat di nilai seperti sikap bertolak ansur antara ahli kumpulan, kerjasama dalam menyiapkan peta minda, menjana idea bagi melakarkan peta minda dan sebagainya. Dengan ini penilaian guru bukan hanya tertumpu pada tahap pengetahuan pelajar sahaja malah dari tiga domain utama iaitu kognatif, afektif dan psikomotor.

ii. Menggalakkan pelajar berfikiran lebih kreatif


Pada masa kini pelajar lebih suka mencari atau mencuba sesuatu yang baru dan secara tidak langsung dengan kaedah peta minda guru dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mempamerkannya segala bakat yang ada di dalam diri. Dengan cara ini, guru dapat melihat dan mengetengahkan kemampuan pelajar dalam menghasilkan peta minda yang menarik dan kreatif di mana kadangkala guru sendiri tidak pernah terpikirkannya. Guru juga dapat menilai kemampuan pelajar disamping memberi galakan dan dorongan kepada rakan-rakan pelajar yang lain untuk berfikir lebih kreatif dan ia akan mewujudkan saingan yang sihat antara pelajar secara tidak langsung.

iii. Mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik

Salah satu kaedah yang dapat menarik minat pelajar adalah dengan mengunakan peta minda. Dalam penyediaan peta minda akan menimbulkan kesan keseronokan dalam diri pelajar kerana pelajar bebas menghasilkan peta minda tanpa sebarang batasan. Guru juga boleh mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan seperti mengadakan perbentangan dari peta minda yang telah dihasilkan. Bagi menggalakkan lagi penglibatan pelajar, guru juga boleh menyediakan hadiah sebagai rangsangan kepada pelajar.

iv. Hubungan interaksi antara guru dan rakan

Melalui kaedah peta minda pelajar akan berkomunikasi bersama rakan-rakan yang lain atau bertanya dengan guru bagi mendapatkan bahan atau pandangan dalam menghasilkan peta minda. Gabungan idea bersama mampu memberi idea dan lakaran yang menarik sekaligus merapatkan lagi hubungan antara guru, pelajar dan rakan-rakan.

v. Kaedah untuk belajar


Peta minda dapat diguna pakai dalam mengulangkaji pelajaran terutamanya yang bmelibatkan fakta. Ini kerana dengan penggunaan peta minda mudah difahami berbanding buku nota ringkas dan buku rujukan selain senang mengingat, menjimatkan masa belajar dan mengulangkaji pelajaran. Penggunaan peta minda sangat efektif sekaligus dapat mengelakkan kebosanan pelajar kerana cara persembahan dan penggunaan gambar juga menarik perhatian pembaca.

3.0 KAEDAH PELAKSANAAN PETA KONSEP


Dalam melaksanakan pengajaran menggunakan peta konsep dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, guru perlu menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut jadual yang ditetapkan. Beberapa langkah perlu dilakukan bagi memastikan pelajar dapat mengaplikasikan dan memahami panduan yang diberikan oleh guru.

Langkah 1:
Gambaran peta minda.
Sebelum pelajar melaksananakan peta minda, pelajar terlebih dahulu akan ditunjukkan dengan cara atau teknik melakarkan peta minda supaya pelajar dapat melihat gambaran awal bagaimana untuk menghasilkan sebuah peta minda

Langkah 2:
Kriteria yang akan dinilai.
Guru akan menerangkan terlebih dahulu apakah kriteria yang ingin dinilai dalam penghasilan peta minda.

Langkah 3:
Guru mengemukakan tajuk pelajaran yang akan dipelajari dengan menggunakan peta konsep.

Langkah 4:
Guru memperkenalkan secara umum bahan pengajaran dan idea-idea utama dalam topik yang akan diajar. Guru mengemukakan sebarang pertanyaan kepada pelajar bagi meningkatkan kesedaran pelajar.

Langkah 5:
Pelajar-pelajar diminta menyiapkan peta minda secara individu yang telah ditetapkan oleh guru mengikut topik yang telah dipelajari oleh guru. Guru membimbing dan memantau para pelajar semasa menghasilkan peta konsep.

Langkah 6:
Pembentangan peta minda yang dihasilkan oleh para pelajar dan penilaian guru dilakukan.

4.0 PANDUAN MEMBINA PETA MINDA


Novak dan Gowin (1984) dan juga Nor Hayati (1993) menyarankan agar kemahiran melukis peta konsep dipupuk dengan mengikuti langkah-langkah berikut bagi memudahkan seseorang menghasilkan peta mindah yang sempurna.
i.Memahami bahan pengajaran yang dibaca.
ii.Mengeluarkan konsep-konsep atau kata kunci penting.
iii.Menyusun kata kunci mengikut hiraki iaitu menyusun kata kunci bermula daripada yang umum beransur-ansur kepada yang lebih spesifik di bawah.
iv. Mengaitkan satu konsep kata kunci dengan yang lain dengan anak panah.
v.Menuliskan kata penghubung di atas anak panah agar dua katakunci.
vi.Diatas cabang juga anda digalakkan menggunakan grafik untuk menarik perhatian semasa membaca.

5.0 PENTAKSIRAN

Penilaian dan penaksiran yang dilakukan oleh guru ke atas pelajar dapat membantu mengesan atau melihat sejauh manakah tahap atau prestasi seseorang pelajar itu. Bagi mentaksir seseorang pelajar, guru terlebih dahulu perlu mahir dan mengusai kaedah yang hendak dijalankan selain penetapan kriteria yang hendak ditafsirkan agar guru benar-benar mengukur apa yang hendak diukur.
Berikut adalah kriteria penaksiran yang akan dinilai kepada pelajar.

i.Fakta
Mempunyai fakta asas dan tambahan, yang lengkap, jelas dan sesuai.

ii.Aliran Fakta
Paparan aliran maklumat yang betul, terperinci dan tepat.

iii.Ilustrasi
Menggunakan ilustrasi dan rekabentuk yang tepat, pelbagai, menarik dan sesuai dengan maklumat.

iv.Kreativiti
Mempunyai kreativiti dan keaslian (gambar, warna, reka letak).

Bagi memudahkan penilaian, skoran rubrik dibentuk sebagai garis panduan dalam pemberian markah kepada pelajar. Skoran tersebut digubal dalam bentuk jadual bagi memudahkan guru atau sesiapa sahaja yang menjadi penilai untuk memberi markah. Berikut adalah skor rubrik yang akan digunapakai dalam menilai pelajar dalam penghasilan peta minda.

6.0 PENUTUP


Penghasilan peta minda tidak memerlukan masa yang panjang dan ia akan mewujudkan keseronokan sekaligus menggalakkan pelajar untuk belajar. Pentaksiran melalui peta minda dapat melihat kemampuan kognatif dan afektif seseoarng pelajar dan mampu menjadi salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan kerana pelajar diberi peluang untuk mengetengahkan pemikiran dan kreativiti yang ada pada diri pelajar. Namun apa yang lebih penting adalah penilaian yang dapat dilakukan oleh guru ke atas pelajar. Penilaian yang dilakukan bertujuan untuk memperbaki segala kelemahan yang dilakukan oleh pelajar dan secara tidak langsung guru dapat membetulkan secara terus tanpa perlu menunggu masa yang lama. Oleh hal yang demikian, penggunaan peta minda sebagai satu teknik pengajaran secara tidak langsung akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan seterusnya dapat meningkatkan pencapaian pelajar dalam sesuatu matapelajaran.

0 comments: